Wanita Mula-Mula Memeluk Islam- Siti Khadijah binti Khuwalid.

khadijahisterirasulullah


Siti Khadijah merupakan seorang yang jelita dan berketurunan suku Quraisy. Bondanya bernama Fatimah binti Zaidah bin Al-Asyam bin Harim bin Rawahah bin Hajar bin ‘Abdi bin Ma’ish bin ‘Amir bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Ayah beliau pula bernama Khuwalid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Siti Khadijah dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah. Setelah bapanya wafat, Siti Khadijah dijaga oleh pak ciknya iaitu Amrin bin Asad.

Khadijah mempunyai akhlak yang luhur dan tidak pernah berbangga dengan kekayaan yang dimilikinya. Oleh itu, beliau digelar Al-Tahirah yang bermakna perempuan suci. Beliau juga sangat berpegang kuat kepada nilai dan tata susila yang terpuji. Selain itu, Siti Khadijah ialah seorang wanita yang bijak dan cepat memahami sesuatu masalah (dzakiyyah), menjaga diri dari amalan keji (‘iffah), berperilaku yang suci (Thuhri), murah hati (Samahah) dan pemurah (Sakha’). Beliau juga seorang wanita yang berketurunan mulia lagi bangsawan, teguh hati atau mempunyai sikap yang kuat (Jazimatan Labibah), cergas (‘Aqilah), terpelihara (mashunah), agung (jalilah), suci hatinya (naqiyyah al-sarirah), bersih jiwanya (syafiyah al-Ruh) dan seorang yang cantik menawan.

Setelah meningkat dewasa, Khadijah berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Abu Halah bin Zurarah bin Habib bin Salamah bin ‘Adiy bin Jarwah bin Usaid bin ‘Amru bin Tamin Al-Tamini, keluarga daripada Bani ‘Abdi Al-Dar bin Qusyai. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Hindun bin Abu Halah dan Zainab binti Abu Halah. Namun, ada yang menyatakan anak pertama mereka bernama Halah dan yang kedua bernama Hanad. Apa yang jelasnya, mereka dikurniakan Allah dua orang cahaya mata.

Setelah suami pertamanya meninggal dunia, Khadijah kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki yang juga dari bangsawan Quraisy iaitu ‘Atiq bin ‘Atidz bin ‘Abdillah bin Umar bin Mahzum Al-Mahzumiy. Namun perkahwinan ini tidak kekal dan mereka berpisah. Tidak dinyatakan dalam sejarah, apakah perpisahan tersebut berlaku kerana suaminya itu meninggal dunia ataupun mereka bercerai hidup. Terdapat ahli tarikh yang menyatakan mereka juga dikurniakan dua cahaya mata.

Selepas perpisahannya dengan suami kedua, Khadijah tidak berkahwin lagi walaupun ramai pemuda dan hartawan Quraisy berminat mengahwininya. Beliau menolak secara halus dan menyatakan beliau mahu memberi perhatian kepada anak, rumahtangga dan perniagaannya. Namun setelah mengenali (Nabi) Muhammad, beliau tertarik dengan keperibadiannya. Beliau mendapat tahu tentang kejujuran (Nabi) Muhammad lalu meminta (Nabi) Muhammad bekerja dengannya. Beliau berjanji akan memberi upah yang berganda kepada (Nabi) Muhammad. Maka berangkatlah (Nabi) Muhammad menuju ke Syam.
Setelah selesai berurus niaga, (Nabi) Muhammad pulang dengan membawa keuntungan yang berlipat ganda.

Maisarah, pembantu Khadijah yang ikut serta rombongan ke Syam menceritakan apa yang berlaku di sepanjang perjalanan mereka kepada Khadijah. Antaranya ialah, Maisarah melihat segumpal awan sentiasa menaungi (Nabi) Muhammad dari panas terik cahaya matahari sepanjang perjalanan tersebut. Selain itu, ketika rombongan niaga ini berehat kerana letih, (Nabi) Muhammad berteduh di bawah sepohon pokok rendang berhampiran rumah seorang rahib Nasrani bernama Nastur. Rahib ini mengetahui tentang (Nabi) Muhammad kerana dia melihat bayang-bayang pohon itu memanjang melindungi (Nabi) Muhammad dari terikkan panas matahari dan dia menghampiri rombongan lalu berkata, “Tiada seorang pun yang berteduh di bawah pohon itu melainkan para Nabi dan Rasul yang diberi keistimewaan oleh Allah dengan sifat-sifat mulia”.
Mendengar apa yang diceritakan oleh Maisarah, Khadijah menjadi semakin ghairah ingin mengetahui mengenai (Nabi) Muhammad. Perhubungan Khadijah dan (Nabi) Muhammad selaku majikan dan pekerja berjalan baik. Khadijah mula menyimpan harapan terhadap (Nabi) Muhammad. Beliau tertarik dengan sifat (Nabi) Muhammad yang pandai berniaga, berbudi bahasa, berakhlak tinggi, tampan dan suaranya yang merdu.

Khadijah dan (Nabi) Muhammad akhirnya berkahwin. Ketika itu, Khadijah berumur 40 tahun manakala (Nabi) Muhammad berumur 25 tahun. Mereka dikurniakan 6 orang cahaya mata iaitu Zainab, Ruqiyyah, Ummi Kalsom, Fatimah, Qasim dan  Abdullah. Allah Maha Berbuat sehendakNya, kedua-dua putera Nabi ini meninggal dunia ketika diusia kecil lagi dan tidak sempat untuk berjuang. Maka, tinggallah 4 puterinya yang dididik dengan baik dan diasuh dengan akhlak yang mulia.

Khadijah merupakan seorang isteri yang baik. Khadijah tidak pernah bersungut apabila setiap kali (Nabi) Muhammad ingin beruzlah (mengasingkan diri) di Gua Hirak. Malah beliau akan menyediakan bekalan makanan untuk (Nabi) Muhammad. Kunjungan (Nabi) Muhammad secara berulang alik ke Gua Hirak dari rumahnya berlaku dalam tempoh lebih kurang 5 tahun. Suatu hari, sedang (Nabi) Muhammad tenggelam dalam munajat kepada Allah, malaikat Jibrail datang membawa wahyu pertama iaitu Surah Al-Alaq yang terdiri dari 5 ayat. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 17 Ramadhan tahun ke 41 dari keputeraan baginda, yakni ketika berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari. Wahyu
Wahyu pertama ini adalah surah yang menyuruh kepada seruan membaca yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”(Al-Alaq:1-5)

Setelah menerima wahyu tersebut, (Nabi) Muhammad pulang ke rumah dalam keadaan gementar dan takut. Semasa dalam perjalanan pulang, baginda tiba-tiba terdengar suara dari langit yang menyatakan baginda telah diangkat menjadi utusan Allah. Setibanya di rumah, Khadijah tercengang melihat keadaan suaminya itu. Baginda kemudian menceritakan kepada Khadijah apa yang telah berlaku. Mendengar keterangan suaminya itu, Khadijah segera memeluknya dan menenangkannya. Setelah melihat suaminya tenang, beliau menjemputnya supaya tidur. 

Khadijah kemudiannya pergi ke rumah sepupunya, Warakah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai, seorang yang berilmu tinggi tentang agama Nasrani, untuk menceritakan segala apa yang berlaku. Waraqah terkejut dan gementar seluruh tubuhnya yang memang sudah tua dan lemah itu selepas mendengar cerita Khadijah. Warakah menyatakan bahawa suami Khadijah akan menjadi Nabi kepada umat. Selepas itu, Khadijah pulang ke rumah dan melihat suaminya masih tidur lena. Beliau membiarkan sahaja suaminya tidur kerana tidak sampai hati hendak mengejutnya. Sedang (Nabi) Muhammad tidur berselimut itu, datanglah wahyu kedua dari Allah yang menegurnya agar jangan mengurung diri di bawah selimut. Allah memerintahkan (Nabi) Muhammad bangun dan persiapkan diri untuk menerima wahyu-wahyu berikutnya. Wahyu tersebut bermaksud:

“Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya). (Iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu. Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.” (Al-Muzammil:1-5)

Nabi Muhammad kemudiannya terbangun dari tidurnya dan melihat isterinya, Khadijah setia duduk dengan khidmatnya di sisi. Khadijah menceritakan apa yang telah disampaikan oleh Waraqah kepadanya. Nabi menatap wajah isterinya itu dengan penuh sayu dan rasa terima kasih serta kagum atas pengertian dan perhatiannya. Keesokkannya, mereka pergi ke rumah Waraqah. Lalu waraqah berkata, “Demi Yang Mengetahui diriku..! Sungguh engkau adalah Nabi kepada umat ini. Kelak engkau akan didustakan orang, disakiti, diusir bahkan diperangi oleh mereka. Seandainya aku masih hidup pada waktu itu, maka aku akan membantumu..!”

Khadijah merupakan wanita pertama yang mengikuti Rasulullah, membenarkan Rasulullah dan beriman kepada Allah. Beliau sentiasa memberikan dorongan kepada perjuangan dan dakwah Rasulullah. Selain itu, Khadijah berperanan sebagai penolong, pembela dan pelindung Rasulullah daripada ancaman orang-orang musyrikin Quraisy. Beliau juga turut merasai pahit maungnya perjuangan mengembangkan ajaran Ilahi kepada manusia sepertimana yang dirasai oleh suaminya, Nabi Muhammad. Nabi dan pengikut-pengikutnya dianggap tidak siuman, dicemuh, dimaki hamun malah, dilontar batu melukai tubuh.

Khadijah dapat menyaksikan wanita pertama yang gugur sebagai syuhada dalam Islam iaitu Sumaiyah bonda Amar bin Yasir. Beliau juga dapat melihat dengan matanya sendiri saat kaum Muslimin dan Muslimat berhijrah ke Habsyi, termasuk dalam rombongan puterinya sendiri, Ruqayyah binti Muhammad. Penentangan daripada orang musyrikin Quraisy semakin menebal apabila Rasulullah mengubah cara dakwahnya dari secara bersembunyi kepada terang-terangan. Ada juga di antara mereka berniat untuk membunuh Rasulullah.

Oleh sebab keteguhan sikap Rasulullah dalam menyampaikan seruan Ilahi, Khadijah menjadi semakin yakin dan teguh untuk berdiri di samping baginda. Pelbagai peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Khadijah memberi kesan yang mendalam di dalam jiwanya. Hal ini jelas nampak dari sikap beliau yang sanggup mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi kemajuan dan perjuangan Islam pada masa itu.

Ketika di penghujung hayatnya, walaupun beliau tidak secergas dulu, uzur dan selalu jatuh sakit, beliau tetap mempunyai semangat dan keyakinannya untuk bersama suami tercinta. Khadijah masih tetap bermanis muka dan memandang suaminya dengan senyuman dan tatapan yang sayu tapi bermakna. Saat demi saat berlalu, penyakit Khadijah kian tenat. Rasulullah memberitahu Khadijah bahawa mereka akan bertemu di syurga kelak.

Dalam usia 65 tahun, Khadijah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang di hadapan suaminya yang tercinta. Jenazah Allahyarham dimakamkan di bumi Hujun. Semenjak kepergian Khadijah, Rasulullah berasa sangat terkesan dan sangat pedih. Kesedihan Rasulullah bukan sahaja kerana kehilangan isteri yang setia, tetapi Rasulullah juga merasa kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas suci iaitu menyeru manusia ke jalan Allah. Penentangan orang Quraisy terhadap Rasulullah semakin hebat selepas kematian Khadijah.

Kredit : Sumber 
Previous
Next Post »

6 comments

Write comments
July 23, 2013 at 1:43 PM delete

suka baca cerita ni, hari tu ingat nak buat entry... hi hi hi...tapi tak kesampaian...thanks for sharing mselim

Reply
avatar
krole
AUTHOR
July 23, 2013 at 3:41 PM delete

sama pula dengan Farah Waheda kat atas ni...sebenarnya krole dah buat point2 da nak buat entri ni...cuma masa terlampau cemburu...asyik pospond je...nasib baik bro mselim da buat...moga entri ini dapat membantu saudara seagama kita diluar sana~

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
July 23, 2013 at 6:09 PM delete

nice sharing mselim
tokoh wanita yg yumida kagumi
idola yumida jugak sbg seorang muslimah

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
July 23, 2013 at 6:09 PM delete

nice sharing mselim
tokoh wanita yg yumida kagumi
idola yumida jugak sbg seorang muslimah

Reply
avatar
Bin Muhammad
AUTHOR
July 24, 2013 at 6:02 AM delete

Salam mselim3,
Wanita contoh umat Islam. Beliaulah sepatutnya menjadi role model terbaik. Nice sharing...suka sgt dgn entri ini.

Reply
avatar

Assalammualaikum w.k.t,

Jaga adab semasa komen dan berbaik-baiklah sesama blogger. Insaallah komen anda akan mselim3 balas... tunggu!!

Admin;mselim3 EmoticonEmoticon