Definisi Hadis Maudhu dan Sejarah Kemunculannya .


Pendahuluan

Bagi mengenali hadith maudhu’ dengan lebih dekat lagi, perlulah diketahui beberapa perkara penting tentangnya seperti definisinya, sejarah kemunculannya, sebab-sebab munculnya hadith maudhu’ dan beberapa perkara lain lagi. Oleh itu, bab pertama ini akan membincangkan secara ringkas tentang perkara-perkara tersebut.


1.1 Definisi Hadith Maudhu’

Istilah Hadith Maudhu’ adalah berasal daripada dua perkataan di dalam bahasa Arab iaitu perkataan al-Hadith dan perkataan al-Maudhu’. Al-Hadith dari segi bahasa mempunyai beberapa pengertian seperti al-hadith dengan erti baharu (al-jadid) dan al-hadith dengan erti cerita (al-khabar).[1]

Dari sudut pengertian syarak pula hadith membawa erti setiap apa yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, taqrir, sifat akhlaq dan sifat semulajadi. Pengertian ini sama dengan pengertian yang dibuat oleh ulama hadith terhadap al-Khabar dan al-Athar.[2]Sebahagian ulama hadith pula mendefinisikan al-Hadith sama erti dengan al-Sunnah.[3] Hal ini boleh dilihat dengan apa yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani yang mengatakan keempat-empat perkataan ini membawa maksud yang sama (walaupun tidak dipersepakati oleh semua ulama). Walaubagaimanapun, beliau menambah dalam definisi beliau “sesuatu yang disandarkan kepada Nabi atau sahabat atau tabiin.....” [4]

Perkataan al-Maudhu’ pula, dari sudut bahasa berasal daripada perkataan wadha’a – yadha’u – wadh’an wa maudhu’an – yang mengandungi beberapa pengertian antaranya telah menggugurkan, menghinakan, mengurangkan, melahirkan, merendahkan, mencipta, menanggalkan, menurunkan dan lain-lain lagi.[5] Walaubagaimanapun, erti yang paling sesuai untuk dipadankan dengan perkataan al-Hadith bagi menghasilkan makna yang dikehendaki di dalam perbincangan Hadith ialah makna ‘telah mencipta’. Oleh itu Maudhu’ (di atas neraca isim maf’ul – benda yang kena buat) akan membawa erti dicipta atau direka.

Berdasarkan pengertian al-Hadith dan al-Maudhu’ ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa definisi Hadith Maudhu’ adalah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada perbuatannya, perkataannya, taqrirnya, sifat akhlaqnya atau sifat semulajadinya, secara rekaan atau dusta semata-mata. Di dalam penggunaan masyarakat Islam di negara kita, hadith maudhu’ disebut juga dengan nama hadith palsu.

Di dalam definisi yang lebih tepat lagi ulama hadith mendefinisikannya sebagai apa-apa yang tidak pernah keluar daripada Nabi s.a.w sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan atau taqrir, tetapi disandarkan kepada baginda s.a.w sama ada secara sengaja atau tersalah, jahil atau memperdaya.[6]

Penulis berpendapat, termasuk juga dalam kategori hadith maudhu’ ialah dakwaan-dakwaan sesetengah golongan tariqat bahawa silsilah tariqat mereka adalah daripada Nabi Muhammad s.a.w padahal perkara tersebut tidak dapat mereka buktikan walaupun berdasarkan hadith-hadith daif. Maka, ini juga boleh digolongkan sebagai hadith maudhu’. Ini berdasarkan definisi hadith maudhu’ yang lain di mana setengah ulama hadith mendefinisikannya sebagai pembohongan yang dicipta dan disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.[7]

Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain seperti dakwaan keturunan Nabi s.a.w, dakwaan berjumpa Nabi s.a.w di dalam mimpi atau jaga dan sebagainya, yang dikaitkan dengan diri Nabi s.a.w secara dusta, semua ini –mengikut pendapat penulis- boleh dikategorikan sebagai hadith maudhu’.

Menamakan hadith yang palsu itu dengan perkataan hadith adalah tidak menjadi suatu kesalahan kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kerana mengambil kira kepada maksudnya dari sudut bahasa. Ia juga berdasarkan kepada semata-mata dakwaan pereka hadith tersebut dan keadaan hadith tersebut sebelum ia didedahkan kepada umum bahawa ianya adalah palsu. Oleh itu, mengikut istilah sebenar, hadith maudhu’ bukanlah boleh dikelaskan dalam mana-mana kategori hadith walaupun hadith yang dhaif.[8]

1.2 Sejarah Kemunculan Hadith Maudhu’

Kemasukan secara ramai penganut agama-agama lain ke dalam Islam, hasil daripada penyebaran dakwah ke pelosok dunia, secara tidak langsung menjadi faktor kepada bermulanya penciptaan hadith-hadith maudhu’. Tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian daripada mereka memeluk Islam kerana benar-benar ikhlas dan tertarik dengan kebenaran ajaran Islam. Namun begitu terdapat juga segolongan daripada mereka yang menganut agama Islam hanya kerana terpaksa mengalah kepada kekuatan Islam pada masa itu.[9]

Golongan ini sentiasa menyimpan dendam dan dengki terhadap Islam dan penganutnya dan sentiasa menunggu peluang yang ada bagi merosakkan dan menimbulkan keraguan di dalam hati orang ramai terhadap Islam. Antara peluang yang terbaik ialah semasa pemerintahan Sayyidina Uthman bin Affan (W35H), hasil daripada sikap tolak ansur dan lemah-lembut akhlaknya terhadap orang ramai, golongan ini mula menaburkan benih-benih fitnah yang pertama.[10]

Antara individu yang memainkan peranan ini ialah Abdullah bin Sabak, seorang Yahudi yang mendakwa telah memeluk Islam. Dengan bertopengkan pembelaan dan kasih kepada Sayyidina Ali dan ahli Bait, beliau menjelajah ke segenap pelosok untuk menabur fitnah kepada orang ramai. Beliau mendakwa Ali (W40H) yang lebih layak menjadi khalifah daripada Uthman bahkan daripada Abu Bakar (W13H) dan Umar (W23H), kerana ianya telah diwasiatkan oleh Nabi s.a.w. Lalu, beliau dipercayai telah mencipta satu hadith maudhu’ yang bermaksud: “Setiap Nabi itu ada penerima wasiatnya dan penerima wasiatku adalah Ali.”[11] Kemunculan Ibnu Sabak ini dikatakan berlaku di akhir pemerintahan Uthman.[12]

Walaubagaimanapun, penyebaran hadith maudhu’ pada masa ini belum lagi meluas disebabkan kewujudan ramai para sahabat-sahabat utama yang mengetahui dengan penuh yakin akan kepalsuan sesuatu hadith. Sayyidina Uthman sebagai contohnya, apabila mengetahui hadith maudhu’ yang dicipta oleh Ibnu Sabak, telah mengambil tindakan dengan menghalau Ibnu Sabak dari bumi Madinah. Begitu juga dilakukan oleh Sayyinia Ali selepas daripada itu.[13]

Mereka menyedari bahaya hadith maudhu’ kerana amaran keras telah dikeluarkan oleh Nabi s.a.w terhadap orang yang mencipta hadith seperti mana sabda Nabi s.a.w “Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka.”[14]

Walaupun begitu, kumpulan ini terus mengambil peluang yang ada, terutama selepas pembunuhan Uthman. Munculnya kumpulan-kumpulan tertentu seperti kumpulan yang kononnya ingin menuntut bela di atas kematian Uthman, kumpulan yang menyokong Ali mahupun kumpulan yang tidak memihak kepada mana-mana dua kumpulan ini, menyebabkan hadith-hadith yang menunjukkan kelebihan kumpulan masing-masing dicipta untuk mempengaruhi orang ramai.[15]

Diriwayatkan oleh Imam Muslim (W261H) daripada Tawus (W106H) bahawa pernah suatu ketika dibawakan kepada Ibnu Abbas (W68H) suatu buku yang di dalamnya mengandungi keputusan-keputusan Ali radhiallahu anhu. Lalu Ibnu Abbas menyapunya kecuali sebahagian daripadanya (yang tidak disapu). Sufyan bin Uyainah (W198H) mentafsirkan bahagian yang tidak disapu itu sekadar sehasta.[16]

Imam al-Zahabi (W748H) pula meriwayatkan daripada Khuzaimah bin Nasr katanya : Aku mendengar Ali berkata di Siffin : Moga-moga Allah melaknati mereka (iaitu golongan yang putih yang telah menghitamkan) kerana telah merosakkan hadith-hadith Rasulullah.[17]

Menyedari hal ini, para sahabat mula memberi perhatian terhadap hadith yang disebarkan oleh seseorang. Mereka tidak akan mudah menerimanya sekiranya mereka meragui kesahihan sesuatu hadith itu. Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Mujahid (W104H) satu kisah yang berlaku kepada Ibnu Abbas : “Busyair bin Kaab telah datang menemui Ibnu Abbas lalu beliau (Busyair) mula menyebutkan satu hadith dengan katanya “Rasulullah telah bersabda”, “Rasullulah telah bersabda ”. Walaubagaimanapun, Ibnu Abbas tidak mendengar hadithnya itu dan tidak memandang pun kepadanya. Lalu Busyair berkata kepada Ibnu Abbas “Wahai Ibnu Abbas ! Aku hairan mengapa engkau tidak mahu mendengar hadith yang aku sebut. Aku menceritakan perkara yang datang daripada Rasulullah tetapi engkau tidak mahu mendengarnya. Ibnu Abbas lalu menjawab : “Kami satu ketika dulu apabila mendengar seseorang berkata “Rasulullah bersabda”, pandangan kami segera kepadanya dan telinga-telinga kami memberi tumpuan untuk mendengarnya. Tetapi apabila orang ramai mula melakukan yang baik dan yang buruk, kita tidak menerima hadith daripada seseorang melainkan kami mengetahuinya.”[18]
Selepas zaman sahabat, berlaku kelemahan dalam penelitian dan mempastikan hadith-hadith, tidak seperti di zaman sahabat. Ini menyebabkan berlaku banyaknya periwayatan-periwayatan dan penyebaran hadith yang secara tidak langsung telah turut menyebabkan berlakunya pendustaan terhadap Rasulullah dan sebahagian daripada sahabat. Ditambah lagi dengan konflik politik di antara umat Islam yang semakin hebat, telah membuka peluang kepada golongan tertentu yang cuba mendekatkan diri dengan pemerintah untuk mencipta hadith.[19]

Sebagai contoh, pernah berlaku di zaman Khalifah Abbasiyyah, hadith-hadith maudhu’ dicipta bagi mengambil hati para khalifah. Antaranya seperti mana yang berlaku kepada Harun al-Rasyid (W191H) di mana seorang lelaki yang bernama Abu al-Bakhtari (seorang qadhi) masuk menemui beliau ketika beliau sedang menerbangkan burung merpati. Lalu beliau berkata kepada Abu al-Bakhtari: “Adakah engkau ada menghafal sesuatu hadith berkenaan dengan burung ini? Lalu dia meriwayatkan satu hadith, katanya: “Bahawa Nabi s.a.w selalu menerbangkan burung merpati.” Walaubagaimanapun, Harun al-Rasyid menyedari kepalsuan hadith tersebut lalu mengherdiknya dan berkata: “Kalaulah bukan kerana engkau daripada keturunan Quraisy, pasti aku akan mengusir engkau.”[20]

Peristiwa seperti ini juga berlaku di zaman khalifah al-Mahdi (W169H) di mana seorang lelaki yang bernama Ghiyath bin Ibrahim masuk menemui beliau yang sedang bermain dengan burung merpati. Lalu Ghiyath meriwayatkan satu hadith kepada khalifah: “Tidak ada pertandingan melainkan pada anak panah atau kuda atau burung.” Dia sebenarnya telah menambah ‘atau burung’ untuk mengambil hati khalifah al-Mahdi. Diriwayatkan bahawa khalifah al-Mahdi telah berkata kepada Ibrahim ketika dia melangkah keluar: “Aku bersaksi bahawa belakang tengkuk engkau adalah belakang tengkuk seorang pendusta.” Selepas itu khalifah telah memerintahkan supaya disembelih burung itu. Pendustaan dalam hadith ini hanya berlaku pada lafaz yang akhir sahaja (atau burung). Manakala lafaz-lafaz hadith yang lain ianya adalah thabit kerana diriwayatkan oleh Imam Ahmad (W241H) dan ashab sunan-sunan yang lain.[21]

Walau bagaimanapun, tahap penyebaran hadith-hadith maudhu’ diperingkat ini masih lagi kecil berbanding dengan zaman-zaman berikutnya. Ini kerana masih ramai lagi tabiin yang menjaga hadith-hadith dan menjelaskan di antara yang lemah dan yang sahih. Begitu juga kerana zaman mereka ini masih lagi dianggap hampir dengan zaman Nabi s.a.w dan disebut oleh Nabi sebagai di antara sebaik-baik zaman. Pengajaran-pengajaran serta wasiat daripada Nabi masih lagi segar dikalangan mereka yang menyebabkan mereka dapat mengesan kepalsuan-kepalsuan sesuatu hadith.[22]



[1] Ijaj al-Khatib, Usul al-Hadith ‘Ulumuhu wa Mustalahuhu, h. 26-27.
[2] Al-Syaikh Jamaluddin al-Qasimi, Qawaid al-Tahdith, h. 61.
[3] Abdul Fatah Abu Ghuddah, Lamhat Min Tarikh al-Sunnah wa ‘Ulum al-Hadith, h. 27.
[4] Ahmad bin Hajar al-Asqalani, Syarh Nukhbah al-Fikar, h.  ن .
[5] Al-Duktur Ibrahim Anis, et. al, al-Mu’jam al-Wasit, h. 1039.
[6] Abdul Fatah Abu Ghudah, op. cit,h. 41.
[7] Mahmud al-Tahhan, Taisir Mustalah Hadith, h. 89.
[8] Ibid, h. 89; Abdul Fatah Abu Ghudah, op.cit, h. 41.
[9] Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudhuat fi Kutub al-Tafsir, h. 20.
[10] Ibid.
[11] Ibid.
[12] Said Ramadhan al-Buti, Fiqh al-Sirah, h. 369.
[13] Muhammad Abu Syahbah, op. cit.
[14] Al-Imam al-Nawawi, Muqaddimah Sahih Muslim Bi Syarh al-Nawawi, Bab Taghliz al-Kizb ala Rasulillah, hadith no. 3.
[15] Abdul Fatah Abu Ghudah, op.cit, h.45; Muhammad Abu Syahbah, op. cit. h. 20-21.
[16] Al-Imam al-Nawawi, op.cit, h. 77.
[17] Muhammad Abu Syahbah, h. 22.
[18] Al-Imam al-Nawawi, op.cit, Bab al-Nahyu An al-Riwayat An al-Dhu’afat wa al-Ihtiyat fi Tahammuliha, hadith no. 7, h. 76.
[19] Muhammad Abu Syahbah, op.cit, h. 23.
[20] Ibid.
[21] Ibid., h. 23-24.
[22] Ijaj al-Khatib, op.cit, h. 417.

Kredit : Sumber 
Previous
Next Post »

6 comments

Write comments
June 26, 2013 at 3:13 PM delete

sebab tu jugak la lahirnya syiah. khawarij dan sebagainyeee

Reply
avatar
Sop
AUTHOR
June 26, 2013 at 3:38 PM delete

ada terbaca juga pasal hadith palsu dan lemah ni sebelum ini dr blog..
ulasan ttg ramai share hadis x sahih
harap siapa nak share kena tau dulu sahih atau sebaliknya..

Reply
avatar
Cik Aann
AUTHOR
June 26, 2013 at 5:34 PM delete

ooo baru tahu sejarah dia.. thanx for the nice article..


http://akutaksunyi.blogspot.com/2013/06/kepentingan-vitamin-c.html

Reply
avatar
Sukma
AUTHOR
June 27, 2013 at 9:20 AM delete

baru tahu ada apa itu makna maudhu nie...

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
June 27, 2013 at 5:03 PM delete

salam, ilmu baru untuk saya ni..thanks ye mselim :)

Reply
avatar
Unknown
AUTHOR
June 27, 2013 at 10:31 PM delete

semoga mampu menjadi rujukan kepada semua... syabas atas perkongsian saudara...

terima kasih atas perkongsian yang bernas ini... harap perbanyakkan post2 yg mcm ni.. bersama kita saling mengingatkan... insya allah..

Reply
avatar

Assalammualaikum w.k.t,

Jaga adab semasa komen dan berbaik-baiklah sesama blogger. Insaallah komen anda akan mselim3 balas... tunggu!!

Admin;mselim3 EmoticonEmoticon