KEAJAIBAN BERWUDUK




Apakah keajaiban di sebalik kita berwuduk?Kini telah ramai pakar perubatan moden yang mengkaji kebaikan berwuduk.

WUDUK merupakan senjata orang Mukmin sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan SOLAT (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur”.
(Al-Maidah : 6 )

Wuduk tidak hanya sekadar membersihkan anggota zahiriah dan bukan sekadar menyucikan badan yang dilakukan secara berulang kali setiap hari. Malahan, perbuatan berwuduk itu mempunyai pengaruh kejiwaan dan membawa kepada tahap kemuliaan rohani. Seseorang muslim yang berwuduk akan dapat merasakan sendiri perasaan tersebut. Dan ianya bukan sekadar diungkapkan dengan kata-kata sahaja, terutamanya sekiranya seseorang melakukannya ( wuduk) dengan sempurna.

Rentetan daripada perbuatan wuduk yang sempurna akan melahirkan seorang Muslim Mukmin yang sentiasa bertenaga, berfikiran positif dalam mengharungi kehidupan, serta yang lebih penting menimbulkan rasa perhambaan yang tinggi dalam dirinya.
Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud :”Siapa yang berwuduk dengan sempurna, maka dosa-dosanya akan keluar dari badan hingga ada yang keluar dari bawah kukunya.”
(H.R. Muslim)

“SIAPA yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakannya dengan membasuh kedua-dua tangan, wajahnya, menyapu kepalanya dan kedua telinga, lalu dia berdiri melaksanakan solat wajib, maka dosanya diampuni pada hari itu.  Dosanya diampuni selama dia menjaga ke mana kakinya berjalan, menjaga apa yang dipegang tangannya, yang didengar telinganya, yang dilihat matanya dan selama dia mencegah dirinya daripada terjerumus ke dalam keburukan.”
(H.R. Ahamad dari Abu Umamah)

Membasuh anggota wuduk dapat menghilangkan kekotoran seperti debu yang sentiasa mengotori anggota badan manusia. Keterlibatan seseorang dengan alam sekeliling memungkinkan perkara ini sentiasa berlaku. Jutaan bakteria tentunya akan memberi kesan kepada manusia kerana pendedahan ke ruang sekitar yang tercemar. Dengan berwuduk sekurang-kurang lima kali sehari sudah tentu risiko ini dapat dihindari ,


HIKMAH WUDUK DARI SUDUT SAINS

SESUNGGUHNYA  setiap syariat yang difardukan ALLAH kepada manusia mempunyai rahsia yang tersendiri. ALLAH mewajibkan umat Islam berwuduk sebelum melakukan solat, malah umat Islam disunatkan berwuduk dalam banyak keadaan lain seperti ketika ingin membaca Al-Quran, tidur, mandi wajib dan SEBAGAINYA.

MENGAPAKAH  wuduk begitu dititikberatkan di dalam Islam? Apakah rahsia yang tersirat di sebalik perlakuan berwuduk?
Mari  kita menyingkap hikmah berwuduk dari teropong sains dan  kesihatan.
·  BERKUMUR-KUMUR
KAJIAN MODEN mendapati bahawa dengan berkumur-kumur, mulut dan kerongkong akan terjaga daripada terjadinya radang gusi di samping kebersihan mulut serta gigi akan terjaga. Perbuatan berkumur-kumur juga memberi impak kepada urat wajah pengamalnya. Ia merupakan suatu latihan penting dan telah diakui oleh beberapa pakar pendidikan berkaitan olah raga.

Latihan ini bermanfaat dalam mencipta rasa ketenangan jiwa bagi seseorang, apabila perlakuan menggerakkan urat-urat mulut dilakukan dengan betul ketika berkumur-kumur.

·  MEMBASUH HIDUNG
KAJIAN yang dilakukan oleh sekumpulan doktor di Universiti Alexandria mendapati bahawa, pada umumnya individu yang berwuduk secara konsisten akan mendapati hidung mereka bersih daripada debu, kuman dan bakteria. Hal ini mempunyai hubungan dengan kesihatan badan seseorang secara keseluruhannya kerana dengan berkumpulnya bakteria pada lubang hidung akan membahayakan anggota badan yang lain.

·  MEMBASUH WAJAH DAN KEDUA-DUA TANGAN
Sememangnyalah dengan membersihkan wajah dan tangan akan menghalang debu dan bakteria daripada melekat pada permukaan kulit bahagian tersebut.
Air wuduk juga berfungsi membersihkan kulit dari kandungan minyak yang tersimpan dalam kelenjar kulit. Pada umumnya kelenjar kulit dan kandungan minyak yang tersimpan menjadi tempat yang baik bagi pembiakan kuman.

·  KEDUA-DUA BELAH KAKI
Dengan membasuh kedua-dua kaki sambil memerhati dengan baik akan menciptakan perasaan tenang dan nyaman kerana di kakilah terletaknya semua urat yang berhubungan dengan seluruh anggota badan. Apabila seseorang berwuduk dengan melihat kedua-dua kakinya dengan penuh perhatian, dia seolah-olah melihat anggota badannya secara bersama. Perkara inilah antara sebab yang akan memberikan perasaan tenang dan nyaman bagi setiap Muslim setelah berwuduk.

PENEMUAN SETERUSNYA
·  Dr. Magomed Magomedov dari Department of Man's Hygiene and Ecology di Akademi Perubatan Daghestan State telah menulis satu artikel yang bertajuk "Muslims Rituals and their effect on the person's health" (Ibadah Muslim dan kesannya ke atas kesihatan seseorang). Di dalam artikel tersebut, beliau menyatakan bahawa berwuduk dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan cara merangsang kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai Kawasan Aktif Biologi atau Biological Active Spots. Menurut beliau, bangsa Cina banyak mengkaji tentang ilmu sains refleksologi dan mereka meyakini jika Kawasan Aktif Biologi dirangsang ia akan merangsang sistem saraf di dalam badan sekaligus memberi kesan yang positif terhadap kesihatan seseorang.

·  Mengikut ilmu perubatan Cina, badan manusia mempunyai lebih kurang 700 Kawasan Aktif Biologi dan 66 daripadanya memberi kesan positif yang segera sekiranya dirangsang. Apa yang menakjubkan ialah 61 daripada 66 kawasan tersebut berada di kawasan wuduk utama orang Islam. Lima lagi berada di kawasan di antara buku lali dan lutut iaitu kawasan yang disunatkan berwuduk. Berhubung dengan kawasan yang khusus (antara buku lali dan lutut) ini, Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: "Sesiapa yang mampu di antara kamu maka hendaklah dia memanjangkan ghurrah dan tahjeelnya“.

·  GHURRAH  bermaksud membasuh muka melebihi kawasan muka yang biasa dan tahjeel pula bermaksud membasuh tangan melebihi siku dan membasuh kaki melebihi kawasan buku lali iaitu di antara buku lali dan lutut. Tafsiran ini disebut di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar terjemahan A.Qadir Hassan, Mu'ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A. (Pustaka Ilmu,Surabaya).

·  Selain  daripada ibadah, wuduk juga mengandungi penawar yang mampu mencegah pelbagai penyakit. Dr. Magomed Magomedov menyatakan bahawa apabila seseorang menyentuh mukanya semasa berwuduk, ia akan merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru (recharge) kepada organ-organ seperti usus, perut, pundi kencing dan sistem peranakan serta saraf. Apabila kawasan kaki kanan dibasuh dan digosok, ia merangsang sistem saraf bagi mengelokkan sistem tulang, usus, pankreas, hempedu, tiroid (thyroid) dan kawasan pinggang (lumbar area). Apabila kawasan kaki kiri dibasuh dan digosok, saraf berperanan untuk mengelokkan kelenjar pituitary dan kawasan otak yang mengawal sistem  endoktrin.

·  Di samping itu, Mukhtar Salem menyatakan di dalam bukunya yang bertajuk: "Prayers: A Sport for The Soul and Body" bahawa berwuduk boleh mencegah seseorang daripada mendapat kanser. Hal ini adalah kerana mengikut kajian semasa, salah satu punca kanser ialah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan daripada pencemaran yang berlaku pada hari ini. Oleh sebab itu, pembasuhan badan melalui wuduk dapat membersihkan badan daripada kesan pencemaran    tersebut.
       BENARLAH   ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. DIA Maha Tahu apa  yang terbaik untuk hamba-NYA.

Rujukan: Quran Saintifik (Dr. Danial Zainal Abidin).

Kredit : Sumber 
Previous
Next Post »

3 comments

Write comments
Si Matatajam
AUTHOR
August 28, 2012 at 6:04 PM delete

Besarnya Hikmah berwuduk ni...nice sharing...

Reply
avatar
Cik Puan
AUTHOR
September 25, 2012 at 5:06 PM delete

memang banyak kelebihan berwuduk.

Reply
avatar

Assalammualaikum w.k.t,

Jaga adab semasa komen dan berbaik-baiklah sesama blogger. Insaallah komen anda akan mselim3 balas... tunggu!!

Admin;mselim3 EmoticonEmoticon