KEJUJURAN SYEIKH ABDUL KADIR AL-JAILANI

kejujuransyeikhabdulkadir

Sheikh Abdul Kadir Jailani pergi ke kota Baghdad dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Syeikh Abdul Kadir Jailani adalah seorang yang sangat jujur dan tidak pernah berdusta. Dia mengikuti satu kafilah yang akan menuju ke Baghdad dari rumahnya. Sebelum bertolak, ibunya memberi sedikit wang sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan. Ibunya menyembunyikan wang itu pada bahagian lengan baju anaknya dan dijahitnya supaya tidak diketahui orang.


Setelah siap, ibunya pun berpesan kepada Sheikh Abdul Kadir, “Hai anakku, dengarlah baik-baik pesan ibu ini. Bila kau dalam perjalanan dan berada di negeri orang, engkau hendaklah sentiasa bercakap dan berlaku benar. Ketahuilah bahawa orang Islam tidak boleh berdusta. Hendaklah kau ingat hai anakku akan sabda Rasul bahawa amanah itu kejayaan. Berlaku benarlah baik dalam tutur kata mahupun dalam perbuatan supaya engkau beroleh selamat dan dilindungi oleh Allah s.w.t.”

Ketika dalam perjalanan mengikuti kafilah yang pergi ke Baghdad itu, tiba-tiba mereka diserang oleh satu angkatan penyamun. Segala barang yang dibawa oleh kafilah tersebut, termasuk barang kepunyaannya turut habis dirompak.

Kemudian, seorang penyamun bertanya kepada Sheikh Abdul Kadir, “Hai budak! Apa lagi yang ada pada engkau. Cakaplah benar kepadaku!” bentak penyamun itu dengan suara yang keras. 

“Ya ada! Aku ada 40 keping emas” ujar Sheikh Abdul Qadir dengan tegas dan bersahaja.Penyamun itu terkejut mendengarkan kata-kata tersebut kerana menyangka budak itu mahu mempersendakannya. Pada fikirannya tidak mungkin seorang budak boleh memberitahu kepada seseorang penyamun bahawa dia masih punya wang.

“Apakah engkau mahu memperolok-oloklan aku?” tanya perompak itu lagi dengan penuh hairan.

“Tidak! Sungguh tuan, saya tidak berkata dusta,” sahut Sheikh Abdul Qadir.“Tuan, tidakkah tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut atau mengejar ilmu itu seperti sedang berjalan menuju ke syurga kerana sentiasa disertai oleh malaikat yang sedia menolongnya. Saya bercita-cita menjadi seorang yang beriman lagi berilmu. Saya adalah keturunan Rasulullah s.a.w dan saya benci sekali bercakap bohong. Apalah ertinya wang 40 keping emas pada saya ini, hingga saya terpaksa berbohong? Seorang Islam yang sejati tidak akan sesekali berbohong sekalipun dalam bahaya dan kesulitan!” sambung Sheikh Abdul Qadir dengan penuh semangat. 

Kali ini penyamun itu merasa semakin terkejut mendengar kata-kata itu. Dia merasa hairan memikirkan sikap budak itu yang secara berani dan tegas memperkatakan yang benar tanpa berganjak sedikitpun. Dengan perasaan bingung penyamun itu pun membawa Sheikh Abdul Qadir berjumpa ketuanya. 

“Siapa nama engkau dan dari mana engkau datang?” tanya ketua penyamun. 
Sheikh Abdul Qadir menjawab dengan berani “Nama saya Abdul Qadir dan saya datang dari Jilan”
“Kemana engkau hendak pergi?”
“Baghdad,” jawabnya ringkas. 
“Untuk tujuan apa kau kesana?”“Saya hendak menuntut ilmu.”
“Bagus! Bagus! Engkau tentu bawa wang bukan?” tanya ketua penyamun
“Benar! Saya mempunyai 40 keping emas,” sekali lagi Sheikh Abdul Qadir menjawab dengan penuh jujur. 

Demi mendangarkan pengakuan Sheikh Abdul Qadir itu, ketua penyamun terkejut lantas berkata lagi “Apa benarkah apa yang engkau katakan hai budak atau engkau sengaja hendak memperolok-olokkan aku?”

Maka sambung Sheikh Abdul Qadir “Benar tuan! Saya tidak suka dan tidak pernah bercakap bohong kerana saya seorang Islam. Inilah ajaran ibu saya semenjak saya pandai bercakap lagi. Apalah erti wang 40 keping emas bagi saya ini hingga saya terpaksa berbohong. Dan apalah gunanya saya hendak bersusah payah mencari ilmu di tempat yang jauh kalau untuk menjadi seorang pembohong! Akan sia-sialah segala amal dan ibadat saya dan akan sia-sialah asuhan dan didikan ibu saya!”


Kemudian ketua penyamun itu pun mengambil jubah Sheikh Abdul Qadir yang dijahitkan pada lengannya . Ketua penyamun mengoyakkan jubah itu dan dia menemui 40 keping emas seperti yang dikatakan oleh Sheikh Abdul Qadir.


Dengan kuasa Allah s.w.t., ketua penyamun itu menjadi terpaku sebentar tatkala mendengarkan kata-kata Sheikh Abdul Kadir yang penuh keimanan dan hikmah itu lantas menjadi malu dan insaf. Akhirnya dengan bercucuran air mata kesedihan dan keinsafan, ketua perompak itu memohon maaf dari Sheikh Abdul Qadir lalu bertaubat dari melakukan kerja yang mungkar lagi hina itu.

Petikan :
Kisah Kehidupan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
Halaman 18-19 Karangan Salih Ahmad Al-Syami
Previous
Next Post »

1 comments:

Write comments
Si Matatajam
AUTHOR
July 25, 2012 at 1:20 PM delete

Ya Allah kisah yg menyentuh jiwa... Kejujurannya hebat la...susah nak cari org sejujur ni kat zaman kita ni kan..

Reply
avatar

Assalammualaikum w.k.t,

Jaga adab semasa komen dan berbaik-baiklah sesama blogger. Insaallah komen anda akan mselim3 balas... tunggu!!

Admin;mselim3 EmoticonEmoticon