Hidup ini tidak sunyi daripada musibah dan cubaan . Musibah dan cubaan sering menjadikan manusia bersedih dan berdukacita. Untuk menghilangkan rasa sedih dan dukacita ,islam membenarkan bergurau senda terutama sekali di antara pasangan suami isteri.
Suami isteri memerlukan gurau senda yang sewajarnya dalam meneruskan kelangsungan kehidupan dan ikatan perkahwinan . Salah satu pendekatan Rasullulah saw terhadap isteri baginda ialah bergurau senda dengan para isteri, mengusik dan menghiburkan hari mereka. Gurauan dan kelucuan dapat menghiburkan hari dan mengeratkan kasih sayang di antara suami isteri . Rasullulah saw bukan sahaja bergurau senda dengan isterinya,bahkan juga menyuruh para sahabat berbuat demikian. Tidak wajar sesebuah rumah tangga itu dilayari dengan suasana serius sepanjang masa, seolah-olah sedang berhadapan dengan peperangan yang besar menentang musuh. Ada tempat perlu serius dan ada tempat perlukan gurau senda.
Aisyah ra melaporkan:
"Sesungguhnya Abu Bakar ra menenemui beliau dan pada masa itu disisi beliau ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina.Nabi saw pada masa itu berselimut dengan pakaiannya. Abu Bakar mencela kedua orang hamba perempuan itu. Rasullulah saw membuang selimut lalu bersabda: Biarkanlah mereka berdua wahai Abu Bakar . Sesungguhnya hari ini adalah hari raya. Kata Aisyah ra ; Saya melihat permainan yang ditunjukkan oleh orang-orang Habsyah , manakala Rasullulah saw menutup saya dengan selendangnya. Mereka bermain dengan tombak."105
Aisyah ra juga melaporkan :
"Suatu ketika beliau bersama dengan nabi saw di dalam perjalanan jauh (musafir) . Kata Aisyah ra :"Saya berlumba berjalan kaki dengan baginda dan saya berjaya mengalahkannya. Apabila badan saya bertambah gemuk , saya berlumba berjalan kaki dengan baginda pada ketika yang lain baginda mengalahkan saya. Sabda baginda :Kemenangan ini adalah sebagai penebus kekalahan sebelum ini. 106
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi jabir bin Abdillah ra menjelaskan:
"Rasullalah saw bertanya beliau: Adakah anda berkahwin wahai Jabir. Katanya :Saya menjawab:Ya, Sabda baginda: Dengan anak dara atau janda? Kata Jabir . Saya menjawab: Janda . Sabda baginda :Kenapa anda tidak berkahwin dengan anak dara . Dia boleh bergurau senda dengan anda. 107
Pembinaan keluarga merupakan isu besar di dalam Islam, kerana daripadanya terbentuklah masyarakat dan negara. Di dalam pembinaannya, pemilihan calon isteri adalah antara perkara yang ditekan oleh Islam. Isteri yang sesuai mewujudkan kerukunan rumah tangga, manakala isteri yang tidak sesuai mewujudkan kekeruhan dan ketidaksefahaman dalam rumah tangga. Di dalam hadis di atas, Rasullulah saw menggalakkan para sahabat mencari isteri yang masih dara, yang antara kelebihannya ialah boleh bergurau senda dengannya, yang antara lain boleh bertindak sebagai penyeri rumah tangga dan tidaklah memperlihatkan suasana keseriusan sepanjang masa sehingga kekadang menampakkan rumah tangga yang dibina itu seolah-olah berada di dalam kesedihan yang berpanjangan kerana menghadapi bencana besar.
Salah satu faktor yang menegakkan rumah tangga bahagia ialah anjuran Rasullulah saw kepada para suami supaya mengisi kelangsungan rumah tangga dengan gurau senda dan mencipta iklim yang menyenangkan yang penuh dengan senyuman dan tawa dalam batas-batas yang dibenar dan diperlukan. Apabila gurau senda , senyuman dan tawa , tidak wujud di dalam rumah tangga boleh dikatakan hubungan suami isteri tidak lagi dihiasi oleh suasana kemesraan dan kehangatan. Jika ini berlaku secara berterusan , tidak msutahil boleh membawa kesan negatif kepada masa hadapan sesebuah keluarga.
Walau bagaimanapun, di dalam melakukan gurau senda itu, perlu mengambil kira masa yang sesuai. Tidak semua masa, sesuai untuk gurau senda. Rasullulah saw bergurau senda ketika berada di rumah, ketika hendak tidur,hendak makan dan ketika berada di bilik air. Sudah menjadi kebiasaan kepada Rasullulah saw , akan melakukan sesuatu perkara dalam usaha baginda membahagiakan rumah tangga dan ahli keluarganya. Membahagiakan ahli keluarga yang dimaksudkan disini bukanlah bererti berbentuk kebendaan, tetapi memberi kebahagiaan dan hiburan kepada para isteri dalam batas-batas yang dibenarkan Islam.
Baginda tidak pernah membiarkan masa berlalu dalam susana bosan dan jemu, sebagaimana yang kita lihat di dalam hadis yang menceritakan tentang perlumbaan berjalan kaki yang dilakukan baginda saw dengan isterinya Aisyah ra . Malah Rasullulah saw mengajak jiran-jiran bermain dengan Aisyah ra . Rasullulah saw juga bergurau ketika berada di tempat makan. Adalah satu perkara janggal , apabila suami isteri tidak makan bersama-sama, kerana membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan tersebut, malah perbuatan membiarkan suami atau isteri makan seorang diri di meja makan , adalah antara sikap yang diamalkan orang-orang Arab Jahilliyah.
Ketika makan Rasullulah saw tidak segan silu menyuap makanan ke mulut isterinya dan para isteri baginda saw pula tidak segan untuk melakukan perkara yang sama kepada baginda. Kesemua sikap dan tindakan tersebut menimbulkan kemesraam dan kasih sayang di dalam keluarga. Rasullulah saw juga bergurau senda dengan isteri baginda ketika mandi. Baginda mandi dengan isterinya di dalam satu bekas air. Ketika mandi baginda mengambil penceduk air, mendahului isterinya sehingga membuatkan isterinya juga turut berlumba dengan baginda untuk mendapatkan penceduk air untuk mandi. Baginda saw juga menyiramkan air ke badan Aisyah ra dan Aisyah ra juga tidak segan untuk melakukan perkara yang sama terhadap baginda. Malah keduanya sering mengosok tubuh badan antara satu sama lain. Tujuan baginda saw berbuat demikian , adalah untuk mencipta suasana hangat dan gembira kepada isterinya.
Dengan adanya suasana tersebut akan lebih mewujudkan kebahagiaan kepada rumah tangga. Walau bagaimanapun suasana gurau senda ini perlu dilakukan di dalam batas kesederhanaan dan tidak keterlaluan,kerana jika lebih daripada batas kesederhanaan, mungkin akan menimbulkan rasa jemu pula , seolah-olah menggambarkan matlamat kehidupan rumah tangga itu hanyalah gurau senda sahaja dan langsung tidak ada perlaksanaan tanggungjawab yang lain yang lebih besar daripadanya.
Gurauan itu juga hendaklah bersih dari sebarang pembohongan, unsur-unsur yang melalaikan daripada berzikir kepada Allah , menjejaskan maruah diri, menyakitkan hati orang lain dan mengecilkan hati perasaan pasangan.
hadis 105-Al-Bukhari,sahih al-Bukhari,Bab Qisah al-Habsyi,hadis no.3266.Muslim,Sahih Muslim,Bab al-Rukhsah Fi al-Lu'bi Allati Ma'siata Fihi, hadis no.1480
hadis 106- Abu Dawud,Sunan Abi Dawud, Bab al-Sabqi Ala Rijli 2214
hadis 107- Al-Bukhari, sahih al-Bukhari Bab Iz Hammat Ta'iifatan Minkum An Tafsyala, hadis no3746
Petikan :
Buku "Psikologi Rasullulah saw Dalam Berinteraksi Dengan Masyarakat"
4 comments
Write commentssetuju hidup ni kena ada gurau senda sesama suami @ isteri
Replybagus ni buat panduan sesama kita
Replygurauan membawa bahagia....
Replykemesraan dan gurau senda memang amat penting dalam kehidupan berumahtangga...nice blog
ReplyAssalammualaikum w.k.t,
Jaga adab semasa komen dan berbaik-baiklah sesama blogger. Insaallah komen anda akan mselim3 balas... tunggu!!
Admin;mselim3 EmoticonEmoticon