Mukjizat Rasullulah.........

mukjizatrasullulah

Seperti mana yang telah kita ketahui mukjizat Rasullulah itu adalah banyak diantaranya adalah seperti berikut:


Semasa Dalam Kandungan Dan Diwaktu Kelahiran

1. Isteri Abdul Ash berkata semasa ia datang ke rumah Siti Aminah pada malam kelahiran Rasulullah s.a.w ia telah melihat ada bintang yang turun sehingga ia merasa khuatir bintang itu akan jatuh ke bumi.

2. Suatu malam Siti Aminah bermimpi keluar cahaya dari perutnya dan menyinari seluruh alam dalam saat itu ia terdengar suara yang berkata yang ia sedang mengandungkan seorang pemimpin akhir zaman.

3. Abu Lahab pun turut merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah s.a.w, ia lalu memerdekakan beberapa orang hambanya.

4. Pada malam kelahiran Rasulullah s.a.w, berhala-berhala yang berdiri tegap di atas Kaabah dengan tiba-tiba jatuh tersungkur. Ini bukti yang patung-patung itu akan dibersihkan oleh bayi yang baru lahir ini.

5. Pada malam kelahiran itu juga tembok Raja Parsi menjadi retak sedangkan tembok itu telah dibina dengan bahan binaan yang kukuh, sebaliknya rumah-rumah rakyat tidak meninggalkan apa-apa kesan. Ini sebagai bukti yang kerajaan Parsi akan runtuh suatu masa nanti.

6. Api kerajaan Parsi yang dinyalakan bertahun-tahun dan api itu dijaga agar terus menyala namun pada malam kelahiran Rasulullah s.a.w api tersebut telah padam. Ini sebagai bukti yang ajaran menyembah api akan juga turut musnah dengan kelahiran bayi ini.

Semasa Kanak-kanak :

1. Ketika Halimatus Sa'diyah ingin menyusukan Rasulullah s.a.w tiba-tiba ia merasakan air susunya menjadi banyak dan ia dapat menyusukan anaknya sekali sedangkan sebelum ini air susunya untuk anaknya sendiri tidak mencukupi.

2. Unta Halimatus Sa'diyah juga dapat mengeluarkan susu yang banyak sedangkan sebelum ini tidak kerana sudah terlalu tua.

3. Setelah memelihara Rasulullah s.a.w, Halimatus Sa'diyah dapat merasakan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan keluarganya. Segala keperluan rezeki didapati dengan mudah. Binatang ternakan mereka menjadi banyak dan bertambah gemuk walaupun pada musim kemarau.

4. Suatu hari semasa Rasulullah s.a.w bersama saudara susuannya sedang mengembala kambing tiba-tiba datang 2 lelaki dan membawanya ke suatu tempat lalu dibelah dada baginda untuk membuang darah hitam.

5. Awan akan sentiasa memayungi baginda s.a.w semasa beliau bersama bapa saudaranya Abu Thalib keluar berniaga di Syam.

Semasa Umur Belia :

1. Maisarah adalah khadam kepada Khadijah. Dalam perjalanan ke negeri Syam bersama Rasulullah s.a.w dengan membawa barang perniagaan Khadijah, Maisarah merasa hairan kerana dia tidak merasa panas walaupun merentasi padang pasir sebaliknya merasa nyaman dan sejuk kerana awan yang sentiasa memayungi mereka.

2. Dalam perjalanan ini juga 2 ekor unta telah jatuh rebah kerana terlalu letih dengan beban yang berat. Apabila Rasulullah s.a.w mengusapi kaki unta itu maka dengan serta merta unta itu dapat bangun dan meneruskan perjalanannya.

3. Rasulullah s.a.w dapat memanggil pokok untuk datang kepadanya kemudian memerintahnya kembali ke tempat asal. Ini berlaku bila seorang jaguh gusti Madinah iaitu Rukainah b. Abdul Yazid meminta baginda berbuat demikian.

Semasa Diangkat Menjadi Nabi dan Rasul :

1. Baginda s.a.w dapat melihat dengan jelas gambar Baitul Maqdis serta menjawab semua soalan dari puak kafir Quraisy yang pada mulanya baginda berada dalam keadaan sukar kerana mereka tidak mempercayai baginda dapat sampai ke Baitul Maqdis dalam satu malam.

2. Rasulullah s.a.w dapat membelah bulan dengan menggunakan tangannya sehingga bulan menjadi terbelah dua dengan kuasa Allah s.w.t. Ini adalah sebagai bukti kenabian yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada hambanya apabila Rasulullah s.a.w diminta berbuat demikian oleh puak kafir Quraisy Makkah.

3. Atikah bt Khalid ada memiliki seekor kambing betina yang sangat kurus dan sudah lama tidak mengeluarkan susu kambing ini lalu diminta oleh Rasulullah s.a.w dan diberkatinya. Setelah Rasulullah s.a.w mengusapi kantung susu kambing itu maka dengan sendirinya ia menjadi besar lalu Rasulullah s.a.w pun memerahnya. Atikah menceritakan selepas itu kambingnya terus mengeluarkan susu selama 8 tahun.

4. Semasa melarikan diri dari puak Quraisy Makkah, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar telah bersembunyi di dalam Gua Thur. Dalam Gua ini kaki Abu Bakar telah digigit seekor ular berbisa, bila Rasulullah s.a.w mengetahuinya baginda terus meludah pada kaki Abu Bakar maka dengan serta merta bisa yang menjalar pada badannya menjadi hilang.

5. Qatadah adalah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang membentengi baginda dalam peperangan Uhud sehingga sebelah matanya menjadi buta kerana terkena panah. Bila Rasulullah s.a.w menyedarinya baginda lalu mengusapi mata Qatadah dan mendoakannya maka dengan serta merta matanya menjadi celik semula bahkan penglihatannya lebih tajam dari dahulu.

6. Semasa menggali parit dalam perang Khandak, para sahabat telah menemui sebuah batu yang amat besar lagi keras. Mereka semua tidak mampu untuk memecahkannya. Bila diserahkan kepada Rasulullah s.a.w, pada pukulan yang pertama batu itu menjadi retak dan pada pukulan yang ketiga batu itu pun hancur berderai.

7. Semasa dalam perang Khandak juga seorang sahabat Rasulullah s.a.w - Jabir telah telah menjemput baginda dan beberapa orang sahabat yang lain datang ke rumah untuk menikmati hidangan. Rasulullah s.a.w sebaliknya telah menjemput semua tentera Khandak dan ini amat membimbangkan Jabir. Rasulullah s.a.w berpesan kepada Jabir jangan diangkat dulu makanan itu dari tungkunya dan baginda sendiri yang akan membahagikannya. Setelah dibahagikan ternyata makanan itu cukup untuk semua bahkan bakinya masih seperti sediakala.

8. Dalam perjalanan ke Makkah untuk mengerjakan Umrah, Rasulullah s.a.w bersama rombongannya seramai 1,400 orang telah singgah di Hudaibiyah. Di sini para sahabat telah kehabisan air. Rasulullah s.a.w lalu memasukkan tangannya ke dalam bekas air maka terpancarlah air dari jari-jari baginda seraya memerintahkan para sahabat berwuduk dengannya. Air itu mencukupi sungguhpun bilangan mereka yang begitu ramai.

9. Suatu hari Zainab bte Harith seorang wanita berbangsa Yahudi telah membawa daging kambing panggang sebagai hadiah untuk Rasulullah s.a.w. Baginda lalu memanggil para sahabat untuk menikmati hidangan itu. Bila hendak dimasukkan saja ke dalam mulut, Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabatnya agar membuang saja daging itu kerana katanya daging itu telah memberitahu kepadanya yang ia telah dicampuri dengan racun.

10. Al Quran adalah mukjizat yang paling agung dan luar biasa untuk Rasulullah s.a.w, ia boleh dilihat dan dibaca dari sejak ia diturunkan hinggalah ke hari kiamat. Bahasa Al Quran adalah mutiara sastera yang tiada tandingannya dan tiada manusia yang mampu menandingi isi dan ayat-ayatnya, ini kerana ia merupakan firman dari Allah s.w.t
Previous
Next Post »

Assalammualaikum w.k.t,

Jaga adab semasa komen dan berbaik-baiklah sesama blogger. Insaallah komen anda akan mselim3 balas... tunggu!!

Admin;mselim3 EmoticonEmoticon